Nasib Penulis Berbahasa Melayu Menjelang Tahun 2020
Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran berhubung pengimportan buku berbahasa Inggeris (juga bahasa asing yang lain) hampir mencecah RM2 bilion -- atau 70% dari nilai pasaran industri buku negara, adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Mungkin angka ini lebih tinggi lagi!Para penerbit buku di Malaysia hanya berminat menerbitkan buku-buku pendidikan terutama yang berkaitan dengan buku teks dan rujukan (ulangkaji peperiksaan). Ini sahajalah yang diusahakan oleh para penerbit kerana ada pasaran. Yang lain dibuat juga tetapi dengan berat hati, kerana untuk mendapat pulangan modal mengambil beberapa tahun.
Oleh yang demikian, YB Mahadzir Mohd Khir mencadangkan supaya satu tabung untuk membantu para penulis Malaysia diwujudkan. Tabung ini dibiayai (didanakan) sebahagiannya melalui potongan (peratusan) penjualan buku import. Persoalannya, tabung ini adakah untuk diagihkan kepada para penulis (semacam Tabung Kebajikan Masyarakat bunyinya) atau tabung ini digunakan untuk membiayai kos penerbitan buku-buku berbahasa Melayu yang juga diagihkan kepada para penerbit supaya kos penerbitan buku menjadi murah? Entahlah...
Ini adalah sebahagian 'musibah' yang menimpa industri perbukuan negara apabila pihak berkuasa menekankan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, sehinggakan orang-orang di Malaysia sudah tidak berselera untuk membaca buku berbahasa Melayu. Usaha pihak berkuasa untuk terus menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris akan lebih memilukan apabila mentari pagi di tahun 2020 hadir nanti.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home