Akujanji Perlu disemak Semula?
Beberapa kenyataan yang tersiar di media sejak kebelakangan ini boleh meletakkan ahli akademik dan pentadbir di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berada dalam keadaan serba salah terutama dalam hal memberi dan mengeluarkan kenyataan kepada media.Di antaranya, kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Fu Ah Kiow, sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan 2005 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pada 2 Dis. 2004. Beliau menyatakan “pihak kerajaan tidak bermaksud menyekat kebebasan tenaga akademik di universiti dan kolej universiti tempatan menyatakan pandangan masing-masing di media asalkan ia tidak menyentuh isu politik”.
Kenyataan berikut seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan pada 26 Nov. 2004 menyatakan Pengerusi Majlis Naib Canselor Malaysia, Prof. Tan Sri Dr Abu Hassan Othman antara lain menyebut tenaga akademik di 17 universiti dan kolej universiti tempatan awam di seluruh negara perlu akur dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi supaya tidak mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa kebenaran khas pengurusan tertinggi institusi masing-masing.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr Hassan Said pula melalui pekeliling Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi bertarikh 6 Sept. 2004 lalu mengarahkan supaya Naib Canselor dan Rektor berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan akhbar.
Secara keseluruhan kenyataan-kenyataan di atas mengingatkan para ahli akademik dan pentadbir IPTA supaya berhati-hati dan berhemah ketika memberi dan mengeluarkan kenyataan kepada media.
Datuk Fu Ah Kiow juga menambah “pihak kerajaan tidak berhasrat menyekat ahli akademik membuat kenyataan kepada media, asalkan isi kandungan kenyataan itu membabitkan perkara akademik atau hasil penyelidikan.”
Walau bagaimanapun kenyataan di atas mendapat bantahan dari Ahli Parlimen (BN) Gerik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan menganggap larangan ini sebagai ‘tindakan ke belakang yang memaparkan ciri-ciri minda tertutup.’
“Arahan itu menghalang golongan ilmiah dan cendekiawan di IPTA memperluaskan pengetahuan dan kepakaran mereka secara bebas. Ia mengelirukan dan menggambarkan suasana minda tertutup yang mewujudkan keadaan universiti kelas ketiga. Kita patut memberi kebebasan kepada pakar memberi pandangan mereka secara bebas seperti mana amalan di masa lalu.”
Berdasarkan perbahasan dan kenyataan dari pihak berwajib di atas, usah kita lupa bahawa sebenarnya para ahli akademik dan pentadbir IPTA sejak Mac 2002 telah berAkujanji untuk tidak mengeluarkan kenyataan kepada media selagi tidak mendapat kebenaran daripada Menteri Pelajaran (sekarang Kementerian Pengajian Tinggi). Jadi perlukah Akujanji dikaji semula?.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home