Ke Mana Arah Tuju Bahasa Melayu?
Syabas Dato' Mohammad Aziz
Usaha memartabatkan bahasa Melayu mutakhir ini terancam dan masa depannya dilihat sebagai tidak menentu dari pelbagai sudut akibat penggunaannya yang bercelaru dan dipinggirkan.
Dato' Mohammad Aziz (Ahli Parlimen BN, Sri Gading, Johor) berkata, walaupun bahasa Melayu dirakamkan dalam Perlembagaan Persekutuan perkara 152 sebagai bahasa rasmi, bagaimanapun prospek menjadi bahasa utama itu dilihat tidak menentu.
* Bahasa Melayu ada dalam perlembagaan tetapi kita tidak hayati dan amalkan sebagai usaha memartabatkannya," tegas beliau lagi.
* Segala kerja memartabatkan bahasa Melayu hampir berjaya, bagaimanapun mutakhir ini kejayaan itu mula punah," ujar beliau ketika membahaskan Belanjawan 2005 di Parlimen baru-baru ini.
* Peminggiran bahasa Melayu mutakhir ini dari segenap aspek pengurusan dan pentadbiran sehinggalah kepada komunikasi dibiarkan berterusan.
* Apakah kerajaan hanya nak berpeluk tubuh sahaja membiarkan bahasa Melayu terus terpinggir sedemikian rupa?"
Beliau turut kesal dengan tindakan meminggirkan bahasa Melayu yang dilihat seolah-olah tidak ada nilai atau keuntungan kepada ekonomi negara.
* Sogan 'cintailah bahasa kebangsaan' hanyalah menjadi slogan yang tidak lagi bermakna apabila ada di antara agensi kerajaan sendiri tidak mengambil ikhtibar kepada usaha merealisasikan slogan itu.
* Rasa hormat kepada bahasa Kebangsaan sudah hilang. Masyarakat, media dan banyak pihak hanya menggunakan bahasa rojak, bahasa campuraduk, bahasa deejay dan segala jenis kerosakan bahasa."
* Usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan tidak akan berjaya selagi elemen merosakkan bahasa wujud di segenap lapisan masyarakat tanpa ada pihak yang mempertahankannya.
Justeru beliau mengulangi gesaan kepada kerajaan agar peka terhadap permasalahan yang akan merencatkan budaya dan identiti bangsa Melayu itu sendiri.
* Soal bahasa bukan perkara yang kedua tetapi ianya perkara pokok yang sepatutnya diutamakan."
Mengenang Hari Literasi Antarabangsa
Mungkin sudah ramai di kalangan kita tidak mempedulikan lagi tentang Hari Literasi Antarabangsa yang dimulakan pada tahun 1965 yang lalu oleh UNESCO. Maka pada setiap tarikh 8 September diisytiharkan sebagai Hari Literasi Antarabangsa. Tujuan hanyalah satu iaitu supaya setiap orang berusaha supaya tidak dikategorikan sebagai buta huruf.
Maka di Malaysia, sejauh manakah tahap literasi kita? 90% atau lebih atau kurang lagi. Kita sebenarnya tidak mengetahui angka yang tepat. Kalau nak diukur dari segi kecelekan pembacaan kita masih jauh di tahap amat tidak memuaskan.
Kempen demi kempen untuk menggalakkan pembacaan diadakan setiap tahun (bulan Julai) tapi hasilnya sukar diukur. Buku-buku di Malaysia diterbitkan sekitar 6000 judul setahun, tapi buku apa? Pendidikan, buku teks, ulangkaji dan sedikit buku umum termasuklah karya kreatif. Di pasaran buku berbahasa Melayu sudah tidak lagi membangkitkan selera untuk membaca kerana semua orang nak cari buku berbahasa Inggeris kerana nak pandai dan boleh bermain di padang global. Sehinggakan buku kanak-kanak terpaksa cari yang diimport atau berbahasa Inggeris.
Hari Literasi Antarabangsa yang disambut pada hari ini hanya jadi kenangan.
Nasib Penulis Berbahasa Melayu Menjelang Tahun 2020
Kenyataan yang dibuat oleh Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran berhubung pengimportan buku berbahasa Inggeris (juga bahasa asing yang lain) hampir mencecah RM2 bilion -- atau 70% dari nilai pasaran industri buku negara, adalah sesuatu yang tidak mengejutkan. Mungkin angka ini lebih tinggi lagi!
Para penerbit buku di Malaysia hanya berminat menerbitkan buku-buku pendidikan terutama yang berkaitan dengan buku teks dan rujukan (ulangkaji peperiksaan). Ini sahajalah yang diusahakan oleh para penerbit kerana ada pasaran. Yang lain dibuat juga tetapi dengan berat hati, kerana untuk mendapat pulangan modal mengambil beberapa tahun.
Oleh yang demikian, YB Mahadzir Mohd Khir mencadangkan supaya satu tabung untuk membantu para penulis Malaysia diwujudkan. Tabung ini dibiayai (didanakan) sebahagiannya melalui potongan (peratusan) penjualan buku import. Persoalannya, tabung ini adakah untuk diagihkan kepada para penulis (semacam Tabung Kebajikan Masyarakat bunyinya) atau tabung ini digunakan untuk membiayai kos penerbitan buku-buku berbahasa Melayu yang juga diagihkan kepada para penerbit supaya kos penerbitan buku menjadi murah? Entahlah...
Ini adalah sebahagian 'musibah' yang menimpa industri perbukuan negara apabila pihak berkuasa menekankan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, sehinggakan orang-orang di Malaysia sudah tidak berselera untuk membaca buku berbahasa Melayu. Usaha pihak berkuasa untuk terus menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris akan lebih memilukan apabila mentari pagi di tahun 2020 hadir nanti.