Bahasa Melayu sukar difahami dan kurang santunnya!
Agak memeranjatkan apabila Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman pada 10 Dis. 2004 menegur sesetengah pegawai dan kakitangan awam bukan sahaja tidak menggunakan bahasa Melayu tepat dari aspek tatabahasa serta sebutan, malah menggunakan bahasa pasar, menyebabkan ia sukar difahami serta kurang santunnya.
Teguran oleh KSN ini adalah sebahagian dari 'rentetan' peristiwa memilukan yang dihadapi oleh bahasa Melayu sejak akhir-akhir ini. Teguran demi teguran daripada golongan karyawan, budayawan, ahli politik, pentadbir, ahli akademik dan sebagainya terhadap kemerosotan penggunaan bahasa Melayu di negara kita, nampaknya ia masih belum berkesan. Di mana silapnya?
Nampaknya slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu dinobatkan semula. Kalaupun bangsa Malaysia tidak dapat menerima sepenuhnya slogan ini, ada baiknya kalau orang-orang MELAYU sendiri berasa gah dan terpanggil untuk 'menjiwai' slogan ini. Janganlah kita rasa rendah diri apabila berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tertib.
Usahlah kita membuat perbandingan dan persoalkan nilai akademik, ekonomi dan sebagainya apabila kita mahukan bahasa Melayu diberi keutamaan, kerana semakin banyak kita berhujah semakin banyak air ludah tertakung di muka kita. Yang aibnya nanti tentulah bangsa yang memiliki bahasanya. Orang akan bertanya kalau bangsa itu sendiri tidak dapat mempertahankan bahasanya apatah lagi untuk perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan bangsa itu. Sejarah tidak pernah membohongi kita!
Akujanji Perlu disemak Semula?
Beberapa kenyataan yang tersiar di media sejak kebelakangan ini boleh meletakkan ahli akademik dan pentadbir di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berada dalam keadaan serba salah terutama dalam hal memberi dan mengeluarkan kenyataan kepada media.
Di antaranya, kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Fu Ah Kiow, sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Belanjawan 2005 di bawah Kementerian Pengajian Tinggi pada 2 Dis. 2004. Beliau menyatakan “pihak kerajaan tidak bermaksud menyekat kebebasan tenaga akademik di universiti dan kolej universiti tempatan menyatakan pandangan masing-masing di media asalkan ia tidak menyentuh isu politik”.
Kenyataan berikut seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan pada 26 Nov. 2004 menyatakan Pengerusi Majlis Naib Canselor Malaysia, Prof. Tan Sri Dr Abu Hassan Othman antara lain menyebut tenaga akademik di 17 universiti dan kolej universiti tempatan awam di seluruh negara perlu akur dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi supaya tidak mengeluarkan kenyataan akhbar tanpa kebenaran khas pengurusan tertinggi institusi masing-masing.
Sementara itu, Prof. Datuk Dr Hassan Said pula melalui pekeliling Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi bertarikh 6 Sept. 2004 lalu mengarahkan supaya Naib Canselor dan Rektor berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan akhbar.
Secara keseluruhan kenyataan-kenyataan di atas mengingatkan para ahli akademik dan pentadbir IPTA supaya berhati-hati dan berhemah ketika memberi dan mengeluarkan kenyataan kepada media.
Datuk Fu Ah Kiow juga menambah “pihak kerajaan tidak berhasrat menyekat ahli akademik membuat kenyataan kepada media, asalkan isi kandungan kenyataan itu membabitkan perkara akademik atau hasil penyelidikan.”
Walau bagaimanapun kenyataan di atas mendapat bantahan dari Ahli Parlimen (BN) Gerik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan menganggap larangan ini sebagai ‘tindakan ke belakang yang memaparkan ciri-ciri minda tertutup.’
“Arahan itu menghalang golongan ilmiah dan cendekiawan di IPTA memperluaskan pengetahuan dan kepakaran mereka secara bebas. Ia mengelirukan dan menggambarkan suasana minda tertutup yang mewujudkan keadaan universiti kelas ketiga. Kita patut memberi kebebasan kepada pakar memberi pandangan mereka secara bebas seperti mana amalan di masa lalu.”
Berdasarkan perbahasan dan kenyataan dari pihak berwajib di atas, usah kita lupa bahawa sebenarnya para ahli akademik dan pentadbir IPTA sejak Mac 2002 telah berAkujanji untuk tidak mengeluarkan kenyataan kepada media selagi tidak mendapat kebenaran daripada Menteri Pelajaran (sekarang Kementerian Pengajian Tinggi). Jadi perlukah Akujanji dikaji semula?.
Selamatkan Kampung Buku Malaysia
Tidak terkira gembiranya hati apabila pada November 1997, usaha Tan Sri Sanusi Junid mewujudkan Kampung Buku Malaysia di Langkawi. Ianya yang pertama (sehingga sekarang) di Asia Tenggara.
Setelah masa berlalu, KgBukuMalaysia, khabarnya sudah tidak seceria sewaktu mula dibuka. Berbagai pihak telah memperkatakannya, namun ianya masih tidak ada banyak perubahan, malah dalam salah satu website berhubung dengan tempat menarik di Langkawi ianya tercatat seperti berikut:
Towards the interior is the rather glamorously named Malaysia Book Village. Six Kampung-style wooden houses sit in tranquil surroundings, a relaxing setting for a good read. The book collection itself is weak, with two houses empty and the book selection very limited.
Alangkah malangnya nasib KgBukuMalaysia. Saya percaya tentu ramai orang yang berminat untuk memajukan tempat tersebut. Namun sehingga sekarang tempat tersebut nampaknya hidup segan mati tak mahu.
Sekiranya ada apa-apa cadangan yang boleh menghidupkan semula KgBukuMalaysia bolehlah kita berdiskusi di sini. Mungkin ianya dapat membantu. Akhir sekali
Selamatkan Kampung Buku Malaysia.