Bahasa Melayu sukar difahami dan kurang santunnya!
Agak memeranjatkan apabila Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman pada 10 Dis. 2004 menegur sesetengah pegawai dan kakitangan awam bukan sahaja tidak menggunakan bahasa Melayu tepat dari aspek tatabahasa serta sebutan, malah menggunakan bahasa pasar, menyebabkan ia sukar difahami serta kurang santunnya.Teguran oleh KSN ini adalah sebahagian dari 'rentetan' peristiwa memilukan yang dihadapi oleh bahasa Melayu sejak akhir-akhir ini. Teguran demi teguran daripada golongan karyawan, budayawan, ahli politik, pentadbir, ahli akademik dan sebagainya terhadap kemerosotan penggunaan bahasa Melayu di negara kita, nampaknya ia masih belum berkesan. Di mana silapnya?
Nampaknya slogan 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu dinobatkan semula. Kalaupun bangsa Malaysia tidak dapat menerima sepenuhnya slogan ini, ada baiknya kalau orang-orang MELAYU sendiri berasa gah dan terpanggil untuk 'menjiwai' slogan ini. Janganlah kita rasa rendah diri apabila berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tertib.
Usahlah kita membuat perbandingan dan persoalkan nilai akademik, ekonomi dan sebagainya apabila kita mahukan bahasa Melayu diberi keutamaan, kerana semakin banyak kita berhujah semakin banyak air ludah tertakung di muka kita. Yang aibnya nanti tentulah bangsa yang memiliki bahasanya. Orang akan bertanya kalau bangsa itu sendiri tidak dapat mempertahankan bahasanya apatah lagi untuk perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan bangsa itu. Sejarah tidak pernah membohongi kita!


0 Comments:
Post a Comment
<< Home